Penduduk Sarawak 2: PERMASALAHAN KEADAAN MASYARAKAT TRADISIONAL

Penduduk Sarawak 2: PERMASALAHAN KEADAAN MASYARAKAT TRADISIONAL
by Sejarah Sarawak (Notes) on Thursday, September 2, 2010 at 4:27pm

PERMASALAHAN KEADAAN MASYARAKAT TRADISIONAL

 

Pada awalnya kedua-dua negeri ini dihuni oleh daripada beberapa kumpulan suku kaum pribumi, tetapi kerana perkembangan dunia perdagangan yang pesat berlaku sejak kurun ke-15 lagi di rantau Asia Tenggara, maka ini telah menggalakkan proses migrasi penduduk dari luar ke Borneo, seperti orang India, Cina, Bugis, Jawa, Melayu, dan Filipina. Proses migrasi yang telahpun sejak awal lagi itu telah membentuk masyarakat yang berbilang keturunan dan agama di Sabah dan Sarawak, dan proses migrasi dari luar ke Borneo bertambah pesat akibat daripada dasar penjajahan-ekonomi orang Inggeris dalam kurun ke-19.

 

Sabah dan Sarawak merupakan wilayah-wilayah de facto Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sebelum penjajahan Inggeris dalam kurun ke-19. Oleh kerana itu, apabila hendak membicarakan tentang sejarah masyarakat awal di kedua-dua negeri tersebut, para sarjana cenderung merujuk kepada Brunei untuk melihat atau menggambarkan keadaan dan ciri-ciri masyarakat di Sabah dan Sarawak. Ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan rekod-rekod sejarah awal di kedua-dua negeri tersebut. Namun begitu, para sarjana telah lupa akan kewujudan dan peranan tradisi lisan di kalangan masyarakat pribumi. Masih ramai sarjana moden dari Barat enggan menerima sumber lisan penduduk pribumi sebagai sumber sejarah kerana dipercayai fakta-faktanya tidak sahih. Memang benar pegangan ini, namun sumber lisan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi jika usaha mentafsirnya secara rasional dilakukan dengan baik. Kerap kali unsur metos dan legenda diadunkan dalam cerita asal menyebabkan fikiran logik manusia enggan menerima dan mempercayainya. Tetapi fikiran yang rasional sentiasa menimbulkan persoalan untuk memberi pertimbangan terhadap kewujudan unsur-usur fantasia dalam tradisi lisan penduduk pribumi. Pendek kata, bahawa sumber lisan itu adalah merupakan ‘tulisan atau sumber maklumat’ sejarah masyarakat primitif dahulu kala, dan hari ini menjadi khazanah yang amat bernilai namun mengalami proses kepupusannya dalam arus teknologi hari ini.

 

Keadaan masyarakat Sabah dan Sarawak sebelum zaman penjajahan Inggeris tidaklah dapat digambarkan melalui kacamata masyarakat Brunei. Masyarakat Brunei adalah didominasi oleh kaum Melayu, sama ada dari Jawa, Sumatra, Sulawesi, Tanah Melayu dan Johor-Riau/Lingga. Walhal, boleh dikatakan masyarakat Melayu di Sabah dan Sarawak adalah cuma kumpulan minoriti saja. Hinggi ke hari ini, masyarakat Melayu yang sebenar sukar dikenali dan bilangannya cuma kecil di Sabah dan Sarawak.

 

Namun proses Islamisasi yang terus pesat berlaku di Sabah dan Sarawak telah mewujudkan masyarakat Melayu-Islam yang besar bilangannya. Ini adalah kerana kecenderungan pemeluk-pemeluk yang baru untuk meninggalkan identiti asal mereka, ataupun tindakan ini biasanya disebut ‘masuk Melayu’, iaitu pada mulanya hanya diertikan sebagai ‘masuk Islam’, tetapi beransur-ansur berubah menjadi ‘orang Melayu’ setelah mengamal cara hidup orang Melayu, serta meninggalkan cara hidup yang asalnya.

 

Masyarakat Sabah dan Sarawak sebelum zaman keagungan Kesultanan Brunei pada kurum masehi ke-16 digambarkan sebagai masyarakat ‘pagan’ oleh para pentadbir dan juga para sarjana. Keadaan ini dirujuk kepada kerajaan Brunei [Tua] yang ketika itu mula popular sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang aktif di rantau Asia Tenggara. Wujudnya hubungan perdagangan dan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar dirantau ini terutamanya negara China, Melaka dan Majapahit telah menyumbang kemakmuran kepada kerajaan Brunei. Dengan adanya hubungan baik ini juga memberi jaminan keselamatan kepada Brunei untuk memperluaskan kuasa politiknya ke atas Borneo dan Filipina.

 

Menjelang akhir kurun Masehi ke-15, kuasa empayar Majapahit dan Melaka telah lemah, sementara negara China pula sibuk dengan urusan masalah dinastinya [masalah dalam negara] hingga tidak menghiraukan lagi hubungannya dengan negeri-negeri di luar. Terutamannya semasa zaman pemerintahan Sultan yang kelima, Sultan Bolkiah (1485-1524), Brunei dikisahkan berjaya memperluaskan kuasa politiknya ke atas seluruh Pulau Borneo hingga ke bahagian selatan Kepulauan Filipina. Sungguhpun begitu, masih tidak dapat diketahui dengan jelas tentang keadaan [ciri-ciri] dan kedudukan sebenar masyarakat Sabah dan Sarawak ketika itu. Rekod-rekod bertulis awal yang ditemui setakat ini cuma membicarakan tentang masyarakat di Brunei.

 

Di Sabah, terdapat maklumat tentang kedatangan orang Cina ke Sungai Kinabatangan atau dikisahkan dalam sumber lisan sebagai ‘China Batangan’. Kononnya seorang pembesar dihantar oleh Maharaja Yung Lo untuk meninjau gunung [kini sebagai Kinabalu] yang terkenal di kalangan saudagar-saudagar Arab yang membawa bekalan Kapur Barus berkualiti tinggi untuk diniagakan di China. Manakala menurut sumber lisan mengisahkan bagaimana seorang pembesar China membina petempatannya di ‘China Batangan’ dan kemudian anak perempuannya telah dikahwinkan dengan Sultan Brunei yang kedua, Sultan Ahmad [nama asalnya menurut sumber lisan ialah Pateh Berbai.

 

Manakala di Sarawak, rekod-rekod awal dinasti China ada mengisahkan tentang kerajaan Melanau di muara Sungai Rejang. Manakala bukti-bukti daripada usaha galicari arkeologi di Santubong [dalam kawasan Bahagian Kuching], dapat menggambarkan kewujudan petempatan masyarakat Buddha-Hindu. Namun tidak dapat dijelaskan setakat ini tentang asal usul penduduk Santubong pada masa itu. Dalam rekod awal negara China menyebut tentang kewujudan sebuah kerajaan Po-ni pada kurun masehi ke-9 yang menganut kepercayaan Buddha. Ada pendapat merujuk kerajaan tersebut kepada kerajaan Brunei Tua yang berpusat di tapak Kota Batu. Dan ada juga pendapat yang merujuknya kepada Santubong. Berdasarkan bukti-bukti galicari arkeologi menunjukkan Santubong merupakan petempatan awal yang lebih pesat berbanding dengan Kota Batu. Namun penemuan bukti-bukti arkeologi di tapak Kota Batu menunjukkan suatu era kemakmuran di antara kurun masehi ke-15 dan ke-16. Ini menjelaskan bahawa Santubong merupakan suatu pusat petempatan di pantai barat Borneo sebelum kerajaan Brunei [tapak Kota Batu] mengambil alih peranan tersebut bermula pada kurun masehi ke-15.

 

Sehingga ke hari ini tidak terdapat sumber-sumber sejarah yang dapat dirujukkan tentang asal-usul masyarakat kaum pribumi asli di Sarawak. Kebanyakan kumpulan masyarakat pribumi di Sarawak merujuk asal-usul mereka dari bahagian selatan Borneo [Kalimantan]. Misalnya, kaum Iban dan Bidayuh dikatakan datang daripada lembah Sungai Kapuas. Manakala kaum Kayan dan Kenyah pula berasal dari Lembah Sungai Batang Kayan. Daripada hasil penyelidikan yang lepas menunjukkan proses migrasi masyarakat daripada bahagian Kalimantan ke bahagian Sarawak berlaku seawal-awalnya selepas kurun masehi ke-18. Pandangan-pandangan yang dikemukakan sebagai punca migrasi tersebut adalah tertumpu kepada faktor mobilisasi perekonomian, yakni mencari kawasan pertanian yang subur. Sebenarnya banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan migrasi tersebut, dan bukannya semata-mata kerana keperluan ekonomi. Misalnya, faktor persaingan sosial, faktor peperangan, dan faktor budaya ‘merantau’. Seperti juga dengan orang Cina dan India dahulu, mereka datang ke Asia Tenggara untuk mencari kekayaan dengan harapan membawa balik segala perolehan mereka ke negara asal. Tetapi apa yang berlaku kemudian ialah mereka tidak balik ke tanahair tetapi terus menetap di luar negeri. Situasi yang serupa juga berlaku di kalangan penduduk pribumi Borneo. Orang Iban pada mulanya migrasi ke Bahagian Kedua, namun semasa zaman pemerintahan Regim Brooke mereka mula tersebar luas di seluruh negeri Sarawak hingga ke negeri Sabah.

 

Menurut tradisi lisan masyarakat Brunei menyebut bahawa terdapat lima buah negeri di bawah takluk kerajaan Brunei, iaitu Kalaka, Mukah, Saribas, Samarahan, dan Sarawak [kini kawasan Kuching]. Sebenarnya sehingga kini tidak terdapat fakta sejarah yang dapat menunjukkan tarikh yang tepat bila wujudnya keberkesannya pemerintahan Brunei di kelima-lima negeri tersebut. Ahli-ahli sejarah percaya bahawa peristiwa penaklukan kelima-lima negeri tersebut berlaku sekitar di antara pertengahan kurun masehi ke-14 dan awal kurun masehi ke-15.

 

Sering kali pertembungan persepsi dan pandangan di kalangan para sarjana berlaku bila hendak menghuraikan ciri-ciri masyarakat di pulau Borneo amnya. Pada dasarnya satu kesimpulan umum boleh diberikan bahawa daripada berbagai kumpulan etnik di Borneo itu, walau pun wujud unsur-unsur persamaan sosial dan ekonomi yang ketara tetapi juga tidak dapat dinafikan akan terbentuknya variasi ciri-ciri di antara kumpulan-kumpulan etnik tersebut. Variasi ciri-ciri tersebut terbentuk daripada sejarah dan pengalaman, pengaruh persekitaran, peranan ekonomi dan politik, kesan proses migrasi dan mobiliti fizikal, dan kesan kontaks antara etnik.

 

Penulis asal : En. Bilcher Bala, Program Sejarah, SSS, UMS.

 

BIBLIOGRAFIBuyong Adil (Haji). 1981. Sejarah Sarawak.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Buyong Adil (Haji). 1981. Sejarah Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Ismail Yusof. 1997. Politik dan Agama di Sabah. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.Lee Yong Leng. 1982. Sabah, Satu Kajian Geografi Tempatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Mazlan Abdullah. 1978. Sejarah Malaysia Timur. Kuala Lumpur : Utusan PublicationHeyward, Nigel 1963. Sarawak, Brunei and North Borneo. Singapura: Easten Universities Press LTD.Zakiah Hanun. 1989. Asal Usul Negeri di Malaysia. Singapura: Times Books.

https://www.facebook.com/note.php?note_id=150886258273581

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s