Miring kena becara

Monday, April 6, 2009
“Miring” : Protes aman di laman Mahkamah Tinggi

Kuching, – Penduduk dari Rumah Ranggong dari Ulu Niah telah mengadakan satu protes aman di perkarangan Bangunan Mahkamah Tinggi Kuching dengan mengadakan upacara “Miring” sebagai tanda memprotes bahawa tanah adat mereka telah diberi kepada syarikat swasta untuk perladangan sawit oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Seramai 76 orang penduduk Rumah Ranggong telah turun beramai-ramai ke Kuching untuk menghadiri kes perbicaraaan tanah yang melibatkan salah seorang ahli penduduk rumah panjang mereka iaitu Encik Changgai Anak Dali.

Sebuah syarikat ladang kelapa sawit, BLD Resources Sdn. Bhd. telah memfailkan saman terhadap Encik Changgai di Mahkamah Tinggi Kuching. Syarikat tersebut membuat tuduhan bahawa Changgai telah menceroboh kawasan ladang kelapa sawit syarikat tersebut. BLD Resources Sdn Bhd mengemukan tuntutan bahawa kawasan tanah dalam geran hak milik sementara atau Provisional Lease (PL) Lot 91 Sawai Land District adalah milik syarikat.

Seramai 76 orang penduduk Rumah Ranggong, berasa marah dengan pihak syarikat yang menyaman salah seorang wakil penduduk rumah panjang mereka, mengadakan satu upacara adat “Miring” dan demonstrasi secara aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuching pada hari perbicaraan Changgai pada 4 Disember 2008.

Penduduk rumah panjang berasa hairan dan tidak setuju dengan tuntutan syarikat tersebut kerana kawasan tersebut adalah tanah adat milik mereka. Mereka telah hidup dan mendiami kawasan tanah tersebut sejak turun temurun. Mereka bercucuk tanam dan mengusahakan kebun-kebun getah, sawit dan buah-buahan yang telah mengeluarkan hasil dan menampung keperluan harian mereka sejak bertahun-tahun yang lepas.

“Syarikat BLD baru sekarang wujud, sedangkan kami Orang Asal sudah berpuluh tahun menetap di tanah ini. Datuk nenek moyang kami telah tinggal di tanah ini sejak tahun 1934. Bagaimana syarikat tersebut boleh katakan tanah ini adalah tanah kerajaan? Tanah adat ini adalah nyawa dan warisan kami”, menurut Changgai.

“Kami adalah pewaris-pewaris Tanah Adat yang terdapat di kawasan Sg. Sah Ulu Niah dan tanah ini adalah nyawa dan warisan kami”, kata Tuai Rumah Ranggong.

Semasa upacara miring diadakan, tujuh biji tengkorak kepala atau “antu pala” yang diperoleh dan disimpan sejak datuk nenek moyang mereka dahulu digunakan serta dipertontonkan kepada orang ramai. Mereka menggunakan antu pala tersebut di dalam upacara miring sebagai simbol perjuangan mereka menegakkan hak tanah adat mereka. Antara sepanduk-sepanduk tertulis “Don’t Rob Our NCR Land”, “Jangan Ambil Hak Nenek Moyang Kami”.

Sebelum ini, pada tahun 1999, kerajaan negeri melalui agensinya Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) telah berusaha-sama membangun tanah tersebut dengan masyarakat rumah panjang dan syarikat BLD Sdn. Bhd. (ibu Syarikat BLD Resources Sdn. Bhd.) sebagai sebuah Projek Usahasama NCR ladang kelapa sawit atau lebih dikenali sebagai Konsep Baru di mana SLDB memegang 10 peratus syer, BLD 60 peratus dan pemilik tanah hak adat bumiputra (NCR) 30 peratus.

Datuk Patinggi Alfred Jabu dan Datuk Celestine Ujang merupakan kedua-dua pemimpin Dayak Iban yang terlibat di dalam perasmian projek usahasama tersebut. Bukti-bukti kedua-dua pemimpin ini terlibat terdapat di atas gambar-gambar dan tandatangan mereka di atas salinan Perjanjian Usahasama semasa perasmian projek tersebut dilancarkan. Akan tetapi, pada bulan Disember 2008, pengurus BLD Resources telah menandatangani Affidavit beliau mengatakan bahawa projek usahasama NCR tersebut telahpun dibatalkan. Alasannya – tidak wujud NCR di atas tanah tersebut.

Para penduduk Rumah Ranggong sanggup datang ke Kuching menggunakan 2 buah bas yang di sewa khas untuk hadir ke mahkamah tinggi kuching menghadiri kes tersebut. Mereka tidak akan berdiam diri dan akan menentang habis-habisan kerana mereka tidak mahu hak mereka di rampas. Menurut mereka, kalau kalah di mahkamah mereka akan tetap lawan di tanah dan sampai mati pun mereka tidak akan menyerah kalah.

Kes ini masih lagi di dalam proses perbicaraan. En. Harrison Ngau Laing merupakan peguambela Changgai di dalam kes ini, manakala En. George Lo merupakan peguam yang mewakili syarikat BLD.
Posted by Sebana Menoa at 12:24 AM No comments:
Labels: Sebana Menoa Vol. 3 – 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s